DADAH yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
DADAH yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Hukuman penjara tidak menginsafkan seorang lelaki berusia 34 tahun daripada terus bergelumang dengan dadah termasuk menjadi pengedar kecil-kecilan.

Namun dia kini berdepan hukuman mati selepas polis menangkapnya bersama 493.87 gram dadah ketika sedang menunggu pembeli di tepi jalan Felda Lui Selatan Satu dan Dua, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, suspek ditangkap pada jam 12.30 tengah malam.

Katanya, suspek dipercayai sedang menunggu pembeli dan menjalankan aktiviti penjualan pada tengah malam bagi mengelakkan kegiatan dihidu penduduk.

"Pemeriksaan polis dalam satu balang plastik menemui 27 paket pelbagai saiz mengandungi heroin seberat 344.87 gram dan satu paket plastik heroin seberat 149 gram di dalam plastik lain.

"Polis turut merampas beg dan alat timbang digital selain wang tunai RM550 dan menyita motosikal Honda RS digunakan suspek," katanya dalam satu kenyataan.

Chang Hook berkata, suspek sudah terbabit dengan dadah sejak sembilan tahun lalu serta mempunyai lima rekod lampau mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah 1952.

Katanya, suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 12:07 PM