Rashidilhadi Abd Rashid (kanan) menceritakan keadaan operasi mencari kepada keluarga mangsa. FOTO ROSLI ILHAM
Rashidilhadi Abd Rashid (kanan) menceritakan keadaan operasi mencari kepada keluarga mangsa. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


Chukai: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menjalankan siasatan sama ada bot dinaiki enam pemancing yang ditemui selamat pagi tadi ada melakukan pelanggaran syarat lesen.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim, Rashidilhadi Abd Rashid, berkata pihaknya akan turut menyiasat dari pelbagai aspek lain bagi mengelak kejadian sama berulang.

Menurutnya, siasatan akan dilakukan terhadap semua aspek termasuk adakah bot terbabit mempunyai permit kebenaran membawa pemancing dan penggunaan jaket keselamatan.

"Siasatan akan dijalankan mengikut seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 termasuk di bawah Ordinan Perkapalan Malaysia," katanya dalam sidang media di Pejabat Maritim Malaysia Kemaman, petang tadi.

Rashidilhadi berkata, bot yang dinaiki enam nelayan terbabit yang gagal dihubungi sejak Isnin lalu ditemui selamat kira-kira 50 batu nautika dari utara Pulau Tioman, kira-kira 8.30 pagi tadi.

"Bot terbabit mengalami kerosakan bahagian kipas sebelum hanyut ke arah Pulau Tioman sebelum ditemui oleh bot nelayan lain.

"Bot nelayan itu memberi bantuan dengan bertindak menunda bot yang rosak itu dan selamat sampai di jeti Pasukan Polis Marin Wilayah, 3, Kuantan, kira-kira jam 1.15 petang tadi," katanya.

Menurutnya, kesemua pemancing terbabit kemudiannya menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan di jeti terbabit.

"Kesemua ahli keluarga mangsa yang dimaklumkan dengan penemuan itu bergegas ke Kuantan untuk menyambut kepulangan kesemua mangsa, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 5:55 PM