Stesen Monorel Chow Kit.
Stesen Monorel Chow Kit.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Aliran trafik di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman/Jalan Sultan Azlan Shah/Jalan Raja Muda Abdul Aziz berhampiran stesen monorel Chow Kit akan mengalami perubahan berkuat kuasa Sabtu ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perubahan itu bertujuan untuk melancarkan aliran trafik dan meningkatkan lagi tahap keselamatan di lokasi terbabit.

"Dalam perubahan ini, pengguna dari arah Jalan Raja Muda Abdul Aziz tidak dibenarkan ke Jalan Chow Kit. Pengguna diminta untuk menggunakan Jalan Sri Amar sebagai jalan alternatif.

"Perubahan ini adalah hasil daripada kajian terperinci yang telah dilaksanakan dan dapat memberi lebih keselesaan kepada pengguna jalan raya serta mengurangkan kadar risiko kemalangan," menurut kenyataan itu.

Sehubungan, pengguna jalan raya diingatkan untuk mematuhi papan tanda arah dan keselamatan yang disediakan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 8:58 PM