FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengakui petugasnya di kaunter pendaftaran Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tersilap ketika memasukkan digit kad pengenalan seorang wanita hingga berlaku pertindihan maklumat.

Bagaimanapun, Pengarahnya Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya sudah melakukan pembetulan dan memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku.

"Ingin dijelaskan bahawa tidak terdapat sebarang kebocoran data peribadi individu berkenaan. Kami sudah membuat langkah-langkah pembetulan berhubung butiran wanita itu sebagai penerima vaksin.

"Proses validasi sistem dilakukan dari semasa ke semasa sebagai langkah kawalan kualiti.

"Manakala, petugas barisan hadapan yang menerima vaksin sudah dimaklumkan dan datanya juga sedang dikonsolidasi di dalam sistem," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai seorang wanita mendakwa mahu mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menerusi aplikasi MySejahtera, namun terkejut apabila mendapati dirinya sudah mendapat vaksin pada 3 Mac di Klinik Kesihatan Selising, Pasir Puteh.

Wanita itu mendakwa menerusi sistem berkenaan dia perlu mendapatkan suntikan vaksin kali kedua semalam, sedangkan dia bukan terdiri daripada pasukan barisan hadapan.

Dia turut mempertikai bagaimana pihak berkenaan tersalah memasukkan data selain, mempersoal sama ada data dimasukkan dalam aplikasi itu sudah tidak selamat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 5:22 PM