MUHYIDDIN berucap sewaktu menghadiri Majlis Makan Malam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sempena lawatan rasminya ke Sabah hari ini. FOTO Bernama
MUHYIDDIN berucap sewaktu menghadiri Majlis Makan Malam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sempena lawatan rasminya ke Sabah hari ini. FOTO Bernama
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kerajaan pusat memberikan sokongan 110 peratus kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menerajui kerajaan negeri selepas kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun beliau baru berkesempatan melawat Sabah pada hari ini, beliau sentiasa memberi perhatian dan berkomunikasi dengan pemimpinnya untuk menangani masalah yang timbul.

"Sokongan kerajaan pusat kepada GRS 110 peratus. Dari awal lagi saya berkomunikasi dengan Ketua Menteri kerana waktu itu berdepan masalah rentas negeri, tak boleh datang sini kerana Covid-19.

"Tapi hubungan secara peribadi saya jalinkan supaya apa yang dikehendaki oleh rakyat Sabah dapat kita bantu dan percepatkan.

"Seingat saya, Ketua Menteri tak pernah minta wang tetapi kita tak tunggu dan tahu apa masalah di sini untuk ambil langkah segera bagi mengatasi masalah sebaiknya," katanya pada Majlis Makan Malam bersama pemimpin GRS, di sini, malam ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri yang juga Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Muhyiddin tiba untuk lawatan dua hari ke Sabah petang tadi, kali pertama selepas GRS mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri pada September lalu.

Beliau berkata, hubungan baik di antara kerajaan pusat dan negeri yang sudah terjalin bukan setakat diteruskan, malah diperkukuhkan lagi menerusi pelbagai program yang dirancang untuk pembangunan negeri.

"Esok kita akan mendengar taklimat mengenai program pembangunan negeri yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan saya akan memberikan pandangan tertentu.

"Kita sedar kesan daripada Covid-19, ekonomi kita menguncup dan memberi kesan kepada rakyat kita. Berdasarkan apa yang saya lihat di lapangan, begitu ramai rakyat yang terkesan.

"Di Sabah juga tidak terkecuali tetapi kita melihat ke hadapan bagaimana urus kemiskinan yang berlaku pada hari ini. Pemberian yang kita buat dalam pakej ekonomi yang kita wujudkan adalah untuk membantu rakyat yang terkesan," katanya.

Beliau berkata, keadaan ekonomi negara dijangka bertambah baik tahun ini berikutan situasi Covid-19 yang semakin baik dapat membantu merancakkan semula pertumbuhan ekonomi.

Sementara itu, beliau menyifatkan majlis yang dihadirinya malam ini sebagai bersejarah dan penting kerana dihadiri seluruh pemimpin GRS yang bersetuju bergabung bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu selepas PRN lalu.

"Hari ini semua hadir untuk tunjuk semangat kesatuan dan perpaduan serta kerjasama yang terjalin hingga dapat membentuk kerajaan negeri hari ini.

"Ini adalah lawatan pertama saya dan saya ucap setinggi tahniah kepada Hajiji, Bung Moktar dan Jeffrey serta semua komponen parti yang membentuk GRS kerana daya persefahaman itu menyaksikan kerajaan baharu GRS terbentuk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 9:30 PM