Muhammad Sanusi (kanan) ketika ditemui media pada Program Pelancaran Dasar Perhutanan Negara Peringkat negeri Kedah di Seri Mentaloon. FOTO BERNAMA
Muhammad Sanusi (kanan) ketika ditemui media pada Program Pelancaran Dasar Perhutanan Negara Peringkat negeri Kedah di Seri Mentaloon. FOTO BERNAMA
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) diingatkan agar tidak terus mencampuri urusan kerajaan negeri dalam menguruskan kawasan Ulu Muda.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana Kedah adalah sebuah negeri yang berdaulat dan kawasan Ulu Muda juga hak milik negeri itu.

"Kita jaga negeri kita dan uruskan sumber air, maka dia jaga negeri dia punya, jangan pandai-pandai campur tangan kerana perbuatan itu salah, malah kita hanya tuntut hak kita.

"Dia (PBAPP) boleh cadang apa pun kepada kerajaan Persekutuan, yang penting Kedah kena dapat bayaran. Selagi kerajaan Pulau Pinang tak bayar kita akan 'bising' sampai kiamat. Kita akan buat tuntutan berterusan untuk mendapatkan hak Kedah," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa agar kerajaan Persekutuan mempertimbangkan penubuhan pihak berkuasa bebas untuk menguruskan Ulu Muda secara profesional dan lestari sebagai kawasan tadahan air terpenting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Muhammad Sanusi berkata, Kedah hanya menuntut hak Kedah semata-mata namun PBAPP dilihat masih berterusan campur tangan dalam urusan sumber air di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 5:28 PM