Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Polis Johor sedang mengesan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengubahan wang haram serta jenayah komersil.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, 33, yang beralamat terakhir di Trigon Residence Unit 1009, Puchong, Selangor dikehendaki bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 130V hingga 130ZB Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.

"Semalam, Polis Johor mengadakan operasi dan serbuan di Puchong, Selangor dan menahan 12 individu termasuk seorang lagi yang bergelar Datuk Seri.

"Sindiket ini besar dan banyak membabitkan penipuan dan scam. Suspek adalah seorang yang berpengaruh dan mempunyai banyak hubungan dengan ramai orang kenamaan termasuk pegawai daripada agensi penguat kuasa.

"Mana-mana individu yang cuba melindungi suspek akan diambil tindakan tegas tanpa mengira sama ada orang awam atau agensi penguat kuasa termasuk polis," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, pihaknya percaya ahli perniagaan itu masih berada di Puchong dan sedang menjalankan usaha bagi mengesannya.

Katanya, dua kertas siasatan berkaitan individu itu sudah dibuka di negeri ini di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sebelum ini, Soon Hee pernah ditahan kerana mencederakan dua anggota Sukarelawan Malaysia (RELA) yang sedang bertugas di perkarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, Kuala Lumpur, empat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 2:41 PM
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan gambar suspek bergelar Datuk Seri yang dikehendaki ketika sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan gambar suspek bergelar Datuk Seri yang dikehendaki ketika sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN