Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kes baharu positif Covid-19 dalam negara pada hari ini merekodkan 1,671 kes menjadikan jumlah kumulatif setakat ini adalah sebanyak 331,713 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor kembali mencatatkan kes harian tertinggi iaitu dengan 652 kes.

Menurutnya, ia diikuti Pulau Pinang dengan 328 kes dan Sarawak (154 kes).

Katanya, sebanyak 1,669 kes yang dilaporkan membabitkan tempatan iaitu 1,038 warganegara dan 631 bukan warganegara, manakala dua lagi adalah kes import.

"Jumlah kes sembuh pula mencatatkan 1,585 dengan jumlah kumulatif sebanyak 316,052 atau 95.8 peratus.

"Terdapat 151 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 64 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, empat kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah kematian setakat ini 1,229 atau 0.37 peratus.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 5:51 PM