Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Wanita ini diceraikan selepas melahirkan anak yang menghidap penyakit saraf, namun sedikit pun dia tidak mengeluh malah, tetap cekal membesarkan anak tunggal itu dalam serba kekurangan.

Faridah Said, 56, yang menetap di Kuala Bekah, Penaga, di sini berkata, anaknya, Noraihan Razali lumpuh sejak lahir disebabkan penyakit itu dan dia tabah menjaganya sambil dibantu keluarga.

Kini katanya, Noraihan sudah berusia 21 tahun dan menjadi permata paling berharga buatnya.

"Anak saya terlantar seperti ini sejak dia lahir lagi dan sayalah yang mengambil sepenuh tanggungjawab menjaganya dengan bantuan ahli keluarga terdekat.

"Saya reda dengan takdir ini dan sekarang saya lebih pentingkan anak saya, berbanding diri saya sendiri kerana bagi saya dialah segala-galanya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Seorang ibu tunggal, Faridah Said, 56, menjaga anak perempuannya, Noraihan Razali, 21, terlantar sakit di Taman Sri Bekah, Penaga di sini. Faridah tidak berkerja untuk memberi tumpuan penuh menjaga anak tunggalnya itu yang menghidapi sakit saraf serta lumpuh sejak kecil, bergantung kepada ahli keluarga serta bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). FOTO DANIAL SAAD

Terdahulu, Faridah menerima kunjungan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor yang hadir menyampaikan bantuan.

Selain bantuan itu, katanya, dia adalah penerima bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP) sebanyak RM400 sebulan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

"Bantuan itu meringankan beban saya menguruskan Noraihan, apatah lagi kos untuk membeli lampin pakai buang dan susu khas juga sekitar RM1,000 sebulan.

"Terima kasih juga kepada warga kerja Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara yang tampil membantu keluarga saya," katanya.

Sementara itu, Noorzainy berkata, pihaknya terpanggil untuk menyantuni keluarga ibu tunggal itu selepas terkesan sebaik membaca kisahnya yang dikongsi di Facebook.

"Atas dasar ini, kita melancarkan kutipan dalam kalangan warga kerja IPD SPU dan membuat serahan kepada keluarga ini dalam usaha meringankan beban mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 4:57 PM