Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
BERNAMA

Putrajaya: Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Nor Bee Ariffin menarik diri daripada mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan beliau untuk membatalkan saman seorang peguam berhubung kesahan pengampunan diraja yang diperoleh bagi sabitan kes liwatnya.

Susulan itu, pendengaran rayuan berkenaan pada hari ini di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terpaksa ditangguhkan.

Nor Bee, yang mempengerusikan panel itu, berkata pada 2016, beliau ada membuat keputusan dalam permohonan semakan kehakiman Anwar dan keluarganya terhadap Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ketika menjadi Hakim Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, isu kebolehbicaraan keputusan Lembaga Pengampunan dirujuk dalam kes itu dan keputusan sudah dibuat dan menambah bahawa permohonan Anwar bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman ditolak atas alasan perkara terbabit tidak dapat dipertahankan.

Katanya, dalam rayuan di hadapan panel itu, individu yang berjaya memperoleh pengampunan ialah Anwar.

"Berdasarkan perkembangan ini, saya tidak akan mendengar kes ini dan satu tarikh akan ditetapkan untuk pengurusan kes," katanya.

Hakim S Nantha Balan dan Datuk Lee Heng Cheong turut bersidang dalam prosiding yang dikendalikan menerusi aplikasi Zoom.

Nor Bee juga berkata, penangguhan pendengaran kes itu di Mahkamah Tinggi akan dilanjutkan sehingga rayuan selesai.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah yang mewakili Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, individu yang memfailkan saman terhadap Anwar dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, mengemukakan permohonan agar Nor Bee menarik diri daripada mendengar rayuan itu.

Bagaimanapun, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar tidak membantah Nor Bee mempengerusikan panel itu untuk mendengar rayuan tersebut.

Pada 21 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar dan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan saman pemula itu selepas memutuskan Mohd Khairul, yang juga seorang peguam mempunyai locus standi dalam memulakan saman itu kerana beliau adalah masyarakat umum dan berkelayakan sebagai peguam.

Anwar, yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula itu atas alasan Khairul Azam selaku plaintif tidak mempunyai locus standi atau kedudukan di sisi undang-undang untuk meneruskan tindakan saman tersebut, tuntutan saman plaintif remeh, mengaibkan serta suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Mohd Khairul Azam, yang memfailkan saman itu pada 26 Februari tahun lalu menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar selaku defendan, mendakwa beberapa tindakan tidak berperlembagaan diambil bagi memastikan Anwar menerima pengampunan yang membebaskannya dari penjara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan.

Dakwanya pada ketika itu, Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna berikutan negara baru selesai menjalankan PRU14 pada 9 Mei 2018 dan dalam proses membentuk kerajaan baru.

Anwar dihukum penjara lima tahun kerana meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azland dan sabitan serta hukuman itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015.

Peguam Datuk M Reza Hassan turut mewakili Mohd Khairul Azam, J Leela mewakili Anwar, manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan hadir bagi pihak Lembaga Pengampunan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 8:24 PM