Ronald Kiandee (tengah) menyaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Haslina Abdul Hamid (dua kanan) menyampaikan replika cek kepada Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar (dua kiri) ketika majlis Pelancaran Agro-Youth Entrepreneur Scheme (AGRO-YES) di Putrajaya. Turut kelihatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah (kanan). FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Samadi Ahmad

Putrajaya: Berita baik apabila Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan RM21 juta bagi Agro-Youth Entrepreneur Scheme (Agro-YES) yang menawarkan pembiayaan sehingga RM500,000 untuk anak muda dalam bidang keusahawanan pertanian.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, Agro-YES, yang melalui penjenamaan semula Pembiayaan Khas Agropreneur Muda diuruskan Agrobank, ditambah baik antaranya pengurangan birokrasi dalam rantaian permohonan dan tempoh masa pemprosesan.

"Sebelum ini semua permohonan bagi pembiayaan perlu melalui jabatan atau agensi di bawah MAFI untuk sokongan sebelum dikemukakan kepada Agrobank.

"Dengan penambahbaikan sekarang, permohonan boleh terus dibuat kepada Agrobank. Tempoh pemprosesan juga dipendekkan kepada 14 hari berbanding dua bulan sebelum ini," katanya kepada media selepas melancarkan Agro-YES, di sini, tadi.

Ronald berkata pembiayaan di bawah Agro-YES itu membabitkan pembayaran balik sehingga tujuh tahun dengan kadar faedah dua peratus.

Pada tahun lalu pembabitan golongan muda untuk mendapatkan geran dan pembiayaan adalah seramai 1,159 orang dengan jumlah RM23 juta berbanding hanya 764 orang dengan jumlah RM13.7 juta pada 2019.

"Kita ingin melihat anak muda berumur 18 tahun hingga 40 tahun menceburi bidang pertanian bukan hanya peladang, penternak tetapi dalam rantaian industri keseluruhannya," katanya.

Ditanya perkembangan cadangan skim insurans untuk penggiat industri pertanian dan agromakanan, Ronald berkata perkara itu masih dalam perbincangan dan Agrobank dipertanggungjawabkan untuk mengolah satu bentuk polisi yang sesuai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 7:06 PM