KSM akan memastikan inisiatif di bawah Program PEMERKASA.
KSM akan memastikan inisiatif di bawah Program PEMERKASA.
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memastikan inisiatif di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) direalisasikan dan memberi manfaat kepada golongan sasar.

KSM dalam satu kenyataan memaklumkan inisiatif itu termasuklah pelanjutan Program Subsidi Upah 3.0 dan dana padanan bagi wanita di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan PEMERKASA bernilai RM20 bilion serta suntikan fiskal baharu berjumlah RM11 bilion, dengan lima fokus utama yang akan menumpukan kepada 20 inisiatif strategik bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan.

KSM secara khusus terbabit dalam fokus kedua iaitu Memacu Pemulihan Ekonomi melalui inisiatif ketujuh, Pengekalan Pekerjaan dan Insentif Penggajian.

Menurut KSM, Perbadanan Sumber Manusia Berhad (HRDF) turut digerakkan dalam PEMERKASA menerusi platform UpskillMalaysia yang berperanan sebagai pusat maklumat bagi program peningkatan kemahiran dan latihan semula dan portal e-LATiH yang mengandungi lebih 300 kursus latihan dalam talian yang ditawarkan secara percuma kepada semua.

KSM memberitahu kerajaan juga sudah menambah baik program PenjanaKerjaya 2.0 dengan memperluaskan skop insentif pengambilan pekerja membabitkan peruntukan RM300 juta yang akan memanfaatkan 60,000 pekerja, dengan setiap pekerja akan menerima RM600 sebulan untuk tempoh maksimum enam bulan.

Majikan yang menawarkan pekerjaan jangka pendek atau platform penyedia perkhidmatan gig yang berdaftar dengan Perkeso pula akan menerima RM200 bagi setiap pekerja yang ditempatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 6:41 PM