FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Padah membuang sampah di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), seorang juruteknik swasta dihukum denda sebanyak RM700 oleh Mahkamah Majistret Telok Datok, di sini, semalam.

Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, tertuduh didakwa atas kesalahan Undang-Undang Kecil 3(a), Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran (MDKL) 2007.

"Tertuduh didapati membuang satu bungkusan sampah berisi daun pokok di kawasan Jalan SP 1, Bandar Saujana Putra di sini.

"Tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Tuan Saifuddin Rafiee dan pendakwaan dilakukan oleh Ketua Pegawai Pendakwa MPKL, Hasrizal Abdul Rahim," katanya.

Amirul Azizan berkata, Mahkamah Majistret Telok Datok turut menjatuhkan hukuman denda RM1,200 kepada seorang pemilik premis perniagaan sarang burung walit tanpa lesen semalam.

"Tertuduh didakwa atas kesalahan Undang-Undang Kecil 3(1)(a), Undang-Undang Penternakan Burung Walit (MDKL) 2013 kerana didapati bersalah menjalankan perniagaan berkaitan sarang burung walit tanpa lesen dari MPKL di Kawasan Sungai Jarom, Jenjarom," katanya.

Sementara itu dalam kes ketiga, seorang pemilik premis kediaman mengaku bersalah kerana membiarkan premis kediaman dalam keadaan kotor dan ditumbuhi semak di kawasan Taman Sri Putra, Banting.

"Tertuduh didenda sebanyak RM500 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 74, Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya.

Beliau berkata, pihak MPKL akan terus mengambil tindakan perundangan terhadap pesalah yang membuang sampah di dalam daerah Kuala Langat.

"MPKL juga memberi peringatan kepada pengusaha sarang burung walit, mereka perlu memohon lesen atau kebenaran sebelum menjalankan perniagaan di dalam daerah Kuala Langat bagi mematuhi peraturan dan Undang-Undang sedia ada.

"Penduduk Kuala Langat juga perlu sentiasa membersihkan serta menjaga kawasan rumah masing-masing selaras dengan moto Kuala Langat Indah, Harmoni dan Bestari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 5:38 PM