- Foto hiasan
- Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pemilik syarikat pembekal dan pembungkus minyak masak subsidi dan pembantunya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 28 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berhubung pembekalan minyak masak kepada peruncit berjumlah RM618,058.80, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Eng Wing Kuang, 52, dan pembantunya, Choy Lee See, 51, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut kesemua pertuduhan, Eng dan Choy didakwa dengan niat bersama memberikan 28 set dokumen penyata Tuntutan Bayaran Kewangan Kepada Kilang Penapis/Pembungkus Minyak Masak Sawit Tulen yang mengandungi butiran palsu bagi tarikh antara 1 Februari 2019 dan 30 April 2020 kepada seorang kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Normawati Osman.

Tuntutan berkenaan mengandungi butiran palsu iaitu resit berkaitan pembekalan minyak masak kepada peruncit oleh Nurfirman Sdn Bhd yang berjumlah RM1,527,807.40, yang kedua-dua tertuduh tahu RM618,058.80 daripada jumlah tuntutan itu adalah palsu.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, KPDNHEP di Putrajaya antara 22 Februari 2019 dan 14 Mei 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta SPRM.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butiran yang palsu atau silap dan jika butiran itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Kamariah Seman menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah jaminan rendah atas alasan syarikat Eng baru sahaja kembali beroperasi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain Choy adalah ibu tunggal.

Mahkamah membenarkan Eng dan Choy, masing-masing diikat jamin RM50,000 dan RM30,000 dengan seorang penjamin selain memerintahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM di Pahang sebulan sekali, sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 April ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 5:10 PM