GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: NanoMalaysia Berhad (NanoMalaysia) kini sedang membantu dalam permohonan rakan industri mendapatkan kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA) bagi kegunaan kit Ujian Rapid Covid-19 yang mampu memberikan keputusan dalam tempoh dua minit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Rezal Khairi Ahmad berkata, alat itu dijangka ia dapat membantu memulihkan kembali sektor ekonomi dan pendapatan negara.

Menurutnya, kepantasan perolehan keputusan bakal menyaksikan kit itu sesuai digunakan dalam sektor pembuatan dan lain yang menggunakan tenaga kerja ramai.

"Kit ini menggunakan 'gold metal particle' yang berupaya menentukan keputusan sama ada seseorang itu dijangkiti Covid-19 atau sebaliknya dalam dua minit saja.

"Bukan hanya menjimatkan masa, malah dengan kit ini, pekerja yang negatif virus itu boleh terus bekerja semula manakala yang positif perlu menjalani ujian calitan Covid-19," katanya pada Muzakarah Pakar: Covid-19 Dari Persepektif Islam anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) secara maya, hari ini.

DR Rezal Khairi.
DR Rezal Khairi.

Sementara itu, Pengerusi IKIM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, tujuh panelis forum berkenaan mencadangkan beberapa penambahbaikan bagi memastikan kesejahteraan awam, kelangsungan pekerjaan dan penyesuaian dengan norma baharu.

"Antara cadangan diutarakan ialah meningkatkan kemampuan kerjasama dua hala antara negara Islam serta menyediakan negara ke arah pengeksport nano teknologi, sekali gus mencipta peluang keusahawanan dan pekerjaan baru kepada rakyat.

"Selain itu, meningkatkan kesedaran, kebersihan dan kebajikan dalam suasana persekitaran pekerjaan dan kilang pembuatan terutama membabitkan pekerja asing.

"Pada masa sama, menyesuaikan suasana bekerja dalam norma baharu dengan menggunakan teknologi, peningkatan akses jaringan Intenet di kawasan pedalaman, pasport digital, sijil kesihatan dalam talian, e-dompet, sistem pembuatan digital serta meningkatkan kemampuan syarikat untuk mengeksport hasil negara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 4:45 PM