Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan umat Islam agar sentiasa berpegang teguh kepada akidah Islam. Foto IHSAN Selangor Royal Office
Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan umat Islam agar sentiasa berpegang teguh kepada akidah Islam. Foto IHSAN Selangor Royal Office
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa amat dukacita dengan sikap serta tingkah laku segelintir individu beragama Islam di negara ini khususnya di Selangor yang tidak berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata yang boleh menjejaskan akidah serta keislaman mereka.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi kenyataan memaklumkan, baginda menegaskan apa-apa juga iktikad (pernyataan dalam hati) atau percakapan atau perbuatan oleh mana-mana orang Islam yang berhasrat untuk keluar dari agama Islam dikhuatiri boleh membawa kepada tergelincir akidah dan menyebabkan terkeluar seseorang itu daripada agama Islam.

"Asas kepada kepercayaan umat Islam adalah mengakui akan keesaan Allah SWT dengan mengucap kalimah syahadah dan seorang Islam perlulah sentiasa berpegang kepada keyakinan bahawa hanya Allah SWT yang berhak disembah dan nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh Allah SWT.

"Seseorang yang berpegang dengan Islam sebagai agamanya adalah berpegang secara mutlak terhadap prinsip tauhid dan akidah sepanjang kehidupannya. Justeru, tindakan segelintir umat Islam khususnya di Selangor yang mengugut untuk keluar daripada agama Islam apabila berhadapan dengan sesuatu masalah hanya menunjukkan rapuhnya keyakinan mereka terhadap agama Islam dan Allah SWT," katanya menerusi satu kenyataan yang dimuatnaik di Facebook Selangor Royal Office, tadi.

Menurut kenyataan itu lagi, Sultan Selangor sangat berpegang kepada keyakinan bahawa Islam dan iman adalah satu anugerah dan nikmat dari Allah SWT. kepada umat Islam, maka ia hendaklah dijaga dengan baik dan penuh kesabaran dalam apa juga situasi termasuk dalam keadaan selesa (aman) atau kepayahan.

Jelas kenyataan itu, perbuatan murtad juga adalah kesalahan yang serius yang mana jika digambarkan di dalam bentuk hukuman mengikut hukum syarak bagi seseorang yang murtad atau keluar dari agama Islam dan yang sudah diberi peluang untuk bertaubat namun tidak mahu bertaubat adalah boleh dihukum mati menurut pendapat majoriti para ulamak termasuk mazhab imam Syafi'e.

"Justeru, baginda menasihatkan umat Islam agar sentiasa berpegang teguh kepada akidah Islam dan tidak mudah terpesong dari aqidah Islam sebenar," katanya.

Menurut kenyataan itu, tindakan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menguatkuasa undang-undang adalah suatu tindakan dan proses biasa berlandaskan peruntukan undang-undang.

"Baginda sudah menitahkan semua tindakan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS hendaklah selaras dengan prinsip-prinsip yang mendukung keutamaan dakwah, mendidik, mencegah dan meningkatkan kefahaman Islam yang betul kepada masyarakat.

"Kita sebagai umat Islam dan rakyat di negara ini khususnya di Selangor seharusnya akur kepada proses undang-undang dan mematuhi setiap prosedur yang digariskan di bawah undang-undang.

"Baginda turut menegaskan bahawa MAIS dan JAIS sentiasa terbuka untuk mendengar dan berbincang dengan umat Islam di Selangor ini atas sebarang perkara mengenai hal ehwal Islam, sama ada yang bersifat umum atau peribadi.

"Selain itu, baginda juga menitahkan MAIS dan JAIS sentiasa memelihara dan mempertahankan akidah aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada sebarang unsur dan ideologi yang boleh merosakkannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 3:58 PM