GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor sudah mengambil keterangan empat saksi berhubung kes tawaran RM10 juta untuk lompat parti membabitkan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias berkata, sehingga kini, pihaknya sudah menyelesaikan fasa pertama siasatan kes itu.

"Siasatan dari segi fasa pertama selesai dan kita serahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk membuat keputusan.

"Empat saksi yang kita panggil termasuk Natrah," katanya pada sidang media selepas perasmian cakera padat pencegahan (CPP) yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil di SPRM Johor, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, pada 9 Mac lalu, SPRM Johor membuka kertas siasatan berhubung satu aduan tawaran rasuah RM10 juta untuk lompat parti membabitkan Natrah dari PKR.

Pada 7 Mac lalu, Natrah dilapor membuat satu laporan kepada SPRM mengenai percubaan didakwa untuk mendapatkan sokongannya terhadap kepemimpinan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 5:24 PM