DAUN ketum yang dirampas PPM. FOTO ihsan polis
DAUN ketum yang dirampas PPM. FOTO ihsan polis
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Sebanyak 430 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM43,000 dirampas Pasukan Polis Marin dalam serbuan di Kuala Perlis dan Simpang Empat, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Pulau Pinang, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, serbuan pertama pada 6.30 pagi dilakukan Unit Risikan Marin (URM) Kuala Kedah di Kampung Tengah, Kuala Perlis.

"Bertindak atas maklumat penyeludupan, anggota polis marin yang dibantu anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kuala Perlis serta polis Kangar pergi ke sebuah premis kediaman di Kampung Tengah.

"Setibanya di premis berkenaan, kita menjumpai longgokkan bungkusan plastik hitam yang berisi daun hijau disyaki ketum yang dianggarkan seberat 300 kg bernilai RM30,000 dan pemerhatian selama satu jam mendapati tiada sebarang individu yang cuba menuntut atau mengambil bungkusan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, susulan daripada penemuan daun ketum berkenaan, pihaknya kemudian menyerbu sebuah lagi kediaman di Jalan Kelinik, Simpang Empat pada 10.30 pagi sebelum memberkas seorang remaja berusia 15 tahun.

"Suspek kemudian menunjukkan kepada kita bungkusan plastik hitam berisi daun hijau disyaki daun ketum di ruangan dapur rumah itu yang dianggarkan seberat 130 kg dengan nilai sebanyak RM13,000," katanya.

Beliau berkata, suspek serta rampasan daun ketum itu kemudian dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 10:36 AM