Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (dua, kanan) berbincang bersama Menteri Negara UAE, Sheikh Shakhbout (dua, kiri), sebelum berlepas pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE). FOTO BERNAMA

BERNAMA

Abu Dhabi: Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menetapkan kerjasama tanpa had (sky is the limit) dalam hubungan bilateral antara Abu Dhabi dan Kuala Lumpur.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, komitmen itu disampaikan oleh Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan dalam pertemuannya dengan pemimpin UAE itu di sini semalam.

"Ungkapan 'the sky is the limit' digunakan oleh Putera Mahkota apabila merujuk kepada kerjasama kedua-dua negara," kata Perdana Menteri pada Khamis.

Muhyiddin berkata, pada pertemuan berkenaan, Putera Mahkota menggambarkan hubungan kedua-dua negara sebagai erat dan luar biasa.

Katanya, UAE memberikan komitmen bahawa akan menggandakan jumlah perdagangan dua hala hingga lima kali ganda nilai berbanding AS$3 billion (RM12.31 bilion) ketika ini.

"Semasa perbincangan, saya menyebut bahawa perdagangan dua hala kita perlu ditingkatkan dan Putera Mahkota menjawab: Dipersetujui lima kali," kata Muhyiddin.

Perdana Menteri berkata, UAE turut berhasrat mahu menggandakan pelaburan di Malaysia.

Pelaburan UAE di Malaysia kini berjumlah AS$1.6 billion (RM6.56 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 5:20 PM