BEH  Chew Boo. FOTO Twitter Bernama
BEH Chew Boo. FOTO Twitter Bernama
BERNAMA

Singapura: "Perjalanan ke lapangan terbang adalah metafora. Saya menjemputnya dalam kegelapan. Dia kemudian beredar untuk pemeriksaan kastam ketika matahari mula terbit. Hari baharu. Kehidupan baharu."

Itu kata Wong Siew Hong, peguam yang mewakili Beh Chew Boo, 38, rakyat Malaysia yang terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan membebaskannya daripada kesemua lima pertuduhan membawa dadah ke Singapura dan kembali ke Malaysia sebagai lelaki yang bebas.

"Saya rasa sempurna, saya telah melakukan tugas saya sebagai seorang peguam, lelaki dan sahabat," kata Wong yang berasal dari Singapura kepada Bernama di Lapangan Terbang Changi awal hari ini.

Beh berlepas ke Pulau Pinang tidak lama kemudian.

"Ia merupakan perjalanan yang boleh saya kongsikan bersamanya. Daripada waktu susah dan senang," kata peguam berusia 60 tahun itu.

"Banyak yang saya pelajari sepanjang perjalanan ini dan saya bersyukur, tuhan memilih saya sebagai individu yang menyelamatkan Beh daripada kematian," kata rakan kongsi di Eldan Law LLP itu.

Beh yang dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini menjelang sambutan Tahun Baru Cina tahun lalu, terselamat daripada hukuman gantung pada Oktober selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Singapura menerima rayuannya.

Pada 2 Mac lalu, panel hakim yang sama - Sundaresh Menon, Tay Yong Kwang dan Steven Chong - turut mengetepikan permohonan pihak pendakwa untuk mengenakan empat pertuduhan yang lebih ringan berkaitan dadah terhadap Beh.

Panel hakim membuat keputusan 2-1 yang memihak kepada Beh.

Selepas Beh bebas daripada tahanan, lelaki itu berada di bawah jagaan Wong.

Pada 10 hari lalu, beliau menyediakan penginapan sementara buat Beh di sebuah hotel, serta pakaian dan perbelanjaannya sehingga urusan kepulangannya ke tanah air selesai.

Di pintu pelepasan di lapangan terbang, Beh dilihat menunduk kepada Wong yang telah membuktikan bahawa anak guamnya itu tidak bersalah dalam perjuangan di mahkamah yang berlangsung selama 52 bulan, sambil Wong turut membalasnya dengan lambaian di sebalik pintu kaca.

Beh turut menghantar klip audio 10 saat kepada penulis sebaik duduk di dalam pesawat, dan mesej: "Kak Mas, jaga diri sendiri. Jumpa lagi ya, kakak Mas."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 11:49 AM