SAIFUDDIN (tengah) melihat  kemahiran yang ditawarkan di   Kolej Komuniti Mentakab. FOTO  Roselan Ab Malek
SAIFUDDIN (tengah) melihat kemahiran yang ditawarkan di Kolej Komuniti Mentakab. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek

Temerloh: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan mempertingkatkan capaian Internet di Lipis, Cameron Highlands, Jerantut dan Rompin.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia lokasi yang akan diberi tumpuan utama untuk dinaik-taraf di Pahang kerana kawasan berkenaan masih di bawah 80 peratus liputan 4G berbanding Temerloh (92.3 peratus) dan Kuantan (93.10 peratus).

Saifuddin berkata, kerajaan mempertingkatkan tahap kesalinghubungan digital serta kualiti perkhidmatan komunikasi di seluruh negara melalui pembangunan infrastruktur digital yang lebih menyeluruh.

"Untuk 2021, sasaran yang ditetapkan ialah menyediakan sambungan talian tetap untuk 7.5 juta premis, meluaskan liputan 4G ke 96.9 peratus kawasan berpenduduk, meningkatkan kelajuan purata jalur lebar mudah alih kepada 35Mbps dan mengalihkan semua spektrum 3G kepada 4G.

"Perkhidmatan 5G pula akan memacu pembangunan ekonomi digital Malaysia ke arah aspirasi MyDigital menjelang 2030," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Malaysia Prihatin di Kolej Komuniti Mentakab di sini, hari ini.

Menurut beliau, pada masa sama, KKMM sedang meminda Akta SKMM 1998 yang dilihat sudah ketinggalan dengan perkembangan teknologi masa kini.

Beliau berkata, KKMM turut mempertingkatkan keselamatan siber untuk menjamin infrastruktur maklumat kritikal negara berada dalam kesiapsiagaan selain kekal selamat dan berdaya tahan.

Saifuddin berkata, kerajaan secara berterusan akan memperkukuhkan infrastruktur keselamatan siber negara berpandukan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2020-2024.

"Sehingga 2020, Malaysia mempunyai 12,083 profesional keselamatan siber.

"Pada masa sama, 9,929 tenaga kerja profesional keselamatan siber turut diiktiraf pada tahun berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 8:33 PM