POKOK kelapa berhampiran rumah peneroka dirosakkan beruang. FOTO Ramli Ibrahim
POKOK kelapa berhampiran rumah peneroka dirosakkan beruang. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Peneroka Rancangan Tanah Felda Perasu, dekat sini, bimbang dengan kemunculan seekor beruang yang berkeliaran di kawasan rumah mereka hampir setiap malam.

Haiwan itu turut memusnahkan pokok kelapa dan bersembunyi dalam kawasan semak berhampiran.

Peneroka, Mohd Zain Hassan, 67, berkata, masalah itu berlaku sejak sebulan lalu.

Katanya, setakat ini, haiwan itu memusnahkan banyak pokok kelapa dengan memakan pucuknya hingga tumbang.

Dia berkata, kebanyakan keluarga peneroka takut keluar waktu malam berikutan sudah beberapa kali terserempak dengan beruang itu.

"Walaupun setakat ini belum berlaku kejadian tidak diingini tetapi bimbang haiwan itu menyerang peneroka.

"Isteri saya juga terserempak dengan beruang itu pagi kelmarin dalam semak di tepi jalan berhampiran rumah tetapi nasib baik tidak ada apa yang berlaku," katanya.

Seorang lagi peneroka, Yusoff Hamid, 63, berkata, beruang itu pernah beberapa kali dijumpai sejak lebih setahun lalu tetapi hilang selepas seminggu.

"Kini muncul semula dan masalah itu juga sudah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Perhilitan sudah memasang perangkap sebulan lalu tetapi setakat belum berjaya menangkap beruang itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 10:39 AM