GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, hari ini menahan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM300,000.

Menurut sumber, suspek menerima wang itu daripada seorang individu kononnya bagi membantu melepaskan 22 warga China yang ditahan di Depoh Tahanan Imigresen.

Menurutnya, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor, pada 8 malam ini.

"Suspek mendakwa boleh membantu menyelesaikan kes 22 warga China ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket judi dalam talian dan Macau Scam, baru-baru ini.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok bagi permohonan reman," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 11:29 PM