NATRAH. FOTO Arkib NSTP
NATRAH. FOTO Arkib NSTP
Omar Ahmad

Johor Bahru: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung dakwaan tawaran rasuah RM10 juta kepada Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias berkata, beberapa saksi sudah dikenal pasti dan sudah serta akan dipanggil untuk dirakam percakapan.

"Selain saksi yang dikenal pasti, rakaman percakapan ke atas Natrah juga dijalankan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Justeru itu, Azmi menggesa semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung perkara itu sehingga siasatan selesai dijalankan.

"Sekiranya mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa bukti atau keterangan baru sila hubungi SPRM untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Ahad lalu, Natrah membuat laporan kepada SPRM berhubung cubaan pihak tertentu untuk mendapatkan sokongannya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Natrah Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat laporan itu di SPRM Cawangan Segamat.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan dua individu bertemu dengan Natrah dan cuba menyogok beliau supaya berpaling tadah daripada PKR dengan nilai tawaran RM10 juta selain dijanjikan jawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 6:32 PM