Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjalankan siasatan berkaitan tiga individu bergelar Tan Sri dan Datuk disyaki dalang utama kartel dadah antarabangsa yang berpangkalan di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata, siasatan dilakukan daripada pelbagai sudut termasuk mengenal pasti sejauh mana pembabitan orang kenamaan berkenaan.

"Siasatan menyeluruh akan dibuat dan saya akan memastikan keadilan.

"Dalam menjalankan siasatan, kita perlu lihat segala aspek termasuk sama ada mereka benar-benar terbabit atau sebaliknya," katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, hari ini.

RAZARUDIN HUSAIN
RAZARUDIN HUSAIN

Terdahulu, media melaporkan seorang individu bergelar Tan Sri dan dua Datuk adalah dalang utama aktiviti pengedaran kokain di negara ini sejak empat tahun lalu.

Kegiatan mereka sukar dihidu sebelum ini selepas hanya mempamerkan kehidupan seharian dengan terbabit dalam perniagaan sektor perhotelan, perkapalan, pengangkutan dan pembuatan besi.

Sebaliknya, aktiviti yang menjana kehidupan mewah mereka itu adalah hasil daripada penyeludupan dan pengedaran kokain.

Sementara itu, Razarudin berkata, JSJN sudah memohon untuk menambah bilangan perjawatan di jabatan itu dalam usaha membanteras dadah di negara ini.

Menurutnya, JSJN mempunyai keanggotaan kira-kira 5,000 orang di seluruh negara ketika ini dan ia tidak mencukupi.

Katanya, pihaknya memerlukan 15,000 pegawai dan anggota untuk memperkasakan lagi JSJN.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 1:25 PM