MOHD Iskandar menghidap masalah jantung sejak lahir kini terpaksa bergantung kepada bantuan alat pernafasan. FOTO Ihsan One Hope Charity & Welfare
MOHD Iskandar menghidap masalah jantung sejak lahir kini terpaksa bergantung kepada bantuan alat pernafasan. FOTO Ihsan One Hope Charity & Welfare
Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: "Anak saya tidak pernah pulang ke rumah sejak lahir, kini dia sudah berusia 14 bulan... Tidak tahu bila dia dapat balik berjumpa adik-beradik lain," kata pekerja kilang, Mohamad Syaimi Abdul Rahim, 46.

Mohamad Syaimi berkata, anak bongsunya Mohd Iskandar Mohamad Syaimi yang berusia 14 bulan terpaksa bergantung sepenuhnya terhadap alat bantuan pernafasan susulan masalah jantung yang dihidapi sejak lahir.

Menurutnya, anak bongsunya itu tidak pernah pulang ke rumah mereka di Kuala Ketil, Kedah memandangkan perlu menerima rawatan sepanjang masa di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

"Jika diikutkan pada usia seperti ini, Iskandar boleh meniarap, merangkak dan berjalan seperti kanak-kanak lain tetapi sekarang hendak duduk pun tidak boleh menyebabkan saya dan isteri, Robiah Saad, 42, agak sedih.

"Malah, Iskandar juga membesar di hospital ditemani isteri, dan tidak berpeluang lagi pulang ke rumah.

"Mujur saya ada anak sulung yang sudah berusia 13 tahun dialah pembantu saya dan ibunya untuk menjaga adik-adik lain berusia 7,9 dan 11 tahun ketika ketiadaan kami berdua di rumah," katanya, di sini, hari ini.

MOHAMAD Syaimi dan isterinya, Robiah berharap orang ramai dapat membantu menyelamatkan anak mereka yang kini sedang bertarung nyawa ekoran masalah jantung yang dihadapi. FOTO Ihsan One Hope Charity & Welfare
MOHAMAD Syaimi dan isterinya, Robiah berharap orang ramai dapat membantu menyelamatkan anak mereka yang kini sedang bertarung nyawa ekoran masalah jantung yang dihadapi. FOTO Ihsan One Hope Charity & Welfare

Mohamad Syaimi berkata, mengikut laporan perubatan anak bongsunya perlu menjalani pembedahan jantung dengan kos perubatan dianggarkan berjumlah RM90,000.

"Saya amat susah hati apabila memikirkan soal kos, pada masa sama nyawa anak saya perlu diselamatkan juga, saya buntu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Kebajikan, One Hope Charity & Welfare, Chua Sui Hau berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu kanak-kanak terbabit dengan melancarkan tabung kutipan dana bagi mengumpul kos perubatan yang diperlukan.

"Ibu bapa kanak-kanak terbabit memberi persetujuan kepada pihak kami untuk mengumpul dana dalam usaha menyelamatkan nyawa anak mereka.

"Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi kami di talian 016-4192192 atau 019-2322192," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 4:15 PM