FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Luqman Arif Abdul Karim


Kuala Lumpur: Kedudukan tenaga buruh merekodkan prestasi pemulihan sederhana pada Januari lalu, dengan peningkatan kecil kadar pengangguran sebanyak 4.9 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh terus berdepan situasi mencabar, tahun ini berikutan peningkatan jumlah kes baharu Covid-19.

Berikutan pandemik itu, katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan mulai 13 Januari 2021 di kebanyakan negeri dan dilanjutkan sehingga 4 Februari lalu, malah hanya lima sektor ekonomi penting dibenarkan beroperasi pada fasa berkenaan.

"Manakala aktiviti perjalanan rentas negeri dan daerah dihadkan. Keadaan ini secara tidak langsung memberi kesan terhadap momentum pemulihan perniagaan serta seterusnya pasaran buruh.

"Oleh itu, kedudukan tenaga buruh pada Januari 2021 pulih sederhana digambarkan melalui peningkatan bilangan tenaga buruh pada bulan berkenaan.

"Pertambahan penduduk bekerja adalah lebih tinggi berbanding peningkatan bilangan yang menganggur, sekali gus menunjukkan kenaikan permintaan buruh oleh perniagaan.

"Tenaga buruh pada Januari naik 0.2 peratus dengan tambahan sebanyak 31,500 orang, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 16.02 juta orang (Disember 2020: 15.99 juta orang)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berdasarkan perangkaan terkini Januari lalu, Mohd Uzir berkata, penyertaan tenaga buruh direkodkan kepada 68.5 peratus, berbanding 68.4 peratus setakat Disember tahun lalu.

Katanya, kadar pengangguran pada Januari meningkat sedikit kepada 4.9 peratus (Disember 2020: 4.8 peratus) dengan tambahan sebanyak 9,700 orang penganggur kepada 782,500 orang (Disember 2020: 772,900 orang).

"Peningkatan bilangan penganggur yang berterusan sebahagiannya adalah susulan daripada penelitian semula strategi perniagaan dalam industri berkaitan pelancongan yang terdiri daripada penginapan dan perkhidmatan makanan, pengangkutan penumpang, hiburan serta aktiviti rekreasi.

"Selanjutnya, ketika PKP 2.0, hanya sektor ekonomi penting dibenarkan beroperasi iaitu pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan edaran, serta perladangan dan komoditi.

"Sementara itu, 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat, manakala bagi kakitangan kumpulan sokongan adalah tertakluk kepada keperluan.

"Keadaan ini menyebabkan bilangan penduduk bekerja terus meningkat dengan pertambahan sejumlah 21,900 orang kepada 15.24 juta orang pada Januari 2021.

"Justeru, nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga meningkat kepada 65.2 peratus (Disember 2020: 65.1%)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 2:11 PM