RADZI melawat bilik guru SKKGV Ampangan. FOTO  Mohd Amin Jalil
RADZI melawat bilik guru SKKGV Ampangan. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminta kerjasama ibu bapa memastikan kaedah penyuraian murid yang ditetapkan ketika tamat sesi persekolahan dipatuhi sepenuhnya.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, penyuraian murid menjadi cabaran utama kementerian itu terutama daripada segi penjarakan fizikal dalam kalangan ibu bapa dan murid.

Katanya, perkara itu diberi penekanan oleh pihak kementerian bagi mengelak penularan Covid-19 dan sudah mengesyorkan kaedah terbaik kepada pihak sekolah dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

"Untuk itu, kami memohon jasa baik ibu bapa pastikan di luar sekolah, penjarakan fizikal dijaga dan kesesakan ditangani dengan baik.

"Sekolah sudah menyusun jadual penyuraian murid dengan pelbagai kaedah dan banyak sekolah menggunakan kaedah penyuraian secara berperingkat.

"Oleh itu, amat penting ibu bapa mematuhi jadual penyuraian yang ditetapkan, jadi kita ingin lihat di seluruh negara, proses penyuraian dapat berlangsung dengan baik," katanya selepas lawatan kerja sempena pembukaan sesi persekolahan bersemuka peringkat kedua membabitkan murid tahun tiga hingga enam di Sekolah Kebangsaan King George V (SKKGV) Ampangan di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Md Fiah Md Jamin.

Radzi berkata, proses penyuraian tidak lama dan hanya mengambil masa antara 10 hingga 20 minit.

"Jika semua pihak dapat mematuhinya, penyuraian murid dapat berjalan lancar," katanya.

Beliau juga berpuas hati dengan perjalanan pembukaan sesi persekolahan bersemuka membabitkan murid tahun tiga hingga enam, hari ini.

Menurutnya, setakat ini seramai tiga juta murid sudah memulakan sesi persekolahan bersemuka di seluruh negara.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 10:36 AM