Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela), Pelan Induk Digital Asean 2025 (ADM 2025) dan Deklarasi Putrajaya antara inisiatif kerajaan yang mampu mempertingkatkan tahap kesalinghubungan digital serta meningkatkan kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara.

Bahkan, inisiatif ini dijangka boleh mempercepatkan pelaksanaan 5G yang akan memacu pembangunan ekonomi digital Malaysia ke arah aspirasi MyDigital menjelang tahun 2030.

Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sebagai kerajaan hari ini yang berfungsi dan prihatin, bekerja kuat dalam zaman paling luar biasa dalam sejarah (yang tiada perbandingannya), pihaknya perlu meningkatkan keberkesanan dalam menjayakan keseimbangan antara hidup dan kelangsungan hidup.

Katanya, soal hidup (memerangi pandemik Covid-19), sudah ada jawapan utamanya iaitu vaksin.

"Manakala soal kelangsungan hidup (kebajikan, pekerjaan, perniagaan, pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, pelaburan asing), pelbagai dasar dan program sudah telah dilaksanakan.

"Ia perlu dilipat ganda, supaya lebih berimpak dan mampu memastikan agar negara dan rakyat boleh bergerak ke hadapan selepas pandemik ini selesai.

"Malah, Malaysia juga melancarkan ADM 2025 dan Deklarasi Putrajaya bagi mendukung aspirasi digital dan mengukuhkan kerjasama serantau dalam membangunkan sektor digital Asean.

"KKMM juga meningkatkan program e-Dagang, contohnya Perkhidmatan e-Dagang Setempat (PeDAS), Program eRezeki dan Global Online Workforce (GLOW) yang sudah memberi manfaat kepada 422,273 orang," katanya.

Saifuddin berkata, inisiatif Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) dengan peruntukan sebanyak RM89.2 juta turut memberi manfaat kepada lebih 9,000 penggiat industri kreatif dan pewujudan lebih 40,000 peluang pekerjaan baharu.

Menurutnya, isu tenaga kerja tambahan RTM (piecemeal) yang sekian lama tidak ditangani sejak 1980-an sudah berjaya diselesaikan.

"Alhamdulillah, nasib seramai 397 anggota piecemeal sudah telah terbela yang mana mereka di dalam proses lantikan secara Contract of Service (CoS)," katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa perkhidmatan telekomunikasi diiktiraf sebagai kemudahan asas ketiga yang wajib disediakan dalam setiap rancangan pemajuan.

"Seperti kita sedia maklum Jendela yang telah bermula pada 2020 dan akan berterusan sehingga penghujung 2022, merangkumi penamatan rangkaian 3G secara berperingkat untuk pemantapan rangkaian 4G serta memperkukuhkan asas bagi rangkaian 5G.

"Manakala Fasa 2 pula adalah peralihan kepada rangkaian 5G," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 9:16 AM