MOHD Fadil Baharuddin menunjukkan arnab yang diternak secara komersial. FOTO Mohd Amin Jalil
MOHD Fadil Baharuddin menunjukkan arnab yang diternak secara komersial. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Jadikan kawasan sekitar rumah sebagai 'ladang' menternak arnab daging secara komersial. Itu antara usaha dilakukan

Mohd Fadil Baharuddin, 50, dengan menjadikan rumahnya di Taman Rasa Sayang Senawang, di sini, lokasi membiakkan 200 ekor arnab.

Bermula sebagai hobi pada tahun 2018, dia hanya memiliki empat ekor arnab termasuk tiga daripadanya adalah baka induk.

Namun kini dia mempunyai lebih 200 ekor arnab pedaging dan hiasan yang diletakkan dalam 100 sangkar.

Mohd Fadil berkata, arnab yang cepat membiak dan tidak mudah dijangkiti penyakit memudahkan projek diusahakannya itu.

Menurutnya, walaupun pernah mengalami kerugian hampir RM10,000 apabila lebih 200 ekor binatang itu dibaham anjing liar dalam tiga kejadian berasingan tahun lalu, namun ia tidak mematahkan semangatnya.

"Permintaan terhadap daging arnab sentiasa bertambah dan kadangkala saya tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan tempatan dan dari luar Negeri Sembilan termasuk di kalangan peniaga.

"Setakat ini, saya mempunyai lebih 100 pelanggan tetap yang memerlukan bekalan daging segar serta sejuk beku. Masing-masing memerlukan antara lima hingga 10 kilogram (kg) sebulan.

"Harga bagi sekilogram daging arnab bersih adalah RM35 manakala sejuk beku RM45," katanya ketika ditemui semalam.

Mohd Fadil berkata, selain menjual daging segar, beliau juga membekalkan baka atau anak arnab berumur dua bulan dengan harga antara RM80 hingga RM150 seekor.

Menurutnya, arnab yang diternak membabitkan beberapa jenis antaranya baka parsi dan anggora.

Beliau bagaimanapun berkata, kos makanan arnab yang sentiasa meningkat mendorongnya dia menggunakan daun hijau semula jadi seperti daun betik, daun pisang, petai belalang, daun pecah kaca, rumput terpilih sebagai makanan tambahan arnab berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 7:22 PM