i-Sinar KWSP.
i-Sinar KWSP.
Alzahrin Alias


Kuala Lumpur: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah 55 tahun yang belum pernah memohon kemudahan i-Sinar, boleh membuat permohonan baharu bermula esok.

KWSP dalam pemberitahuan di laman sosial berkata, kemas kini terkini sistem i-Sinar juga membolehkan ahli yang tidak memilih jumlah pengeluaran dengan betul semasa permohonan terdahulu, melakukan pembetulan.

"Jika ahli tersalah meletakkan jumlah had pengeluaran semasa permohonan asal dibuat atau jumlah yang dipilih bukan had kelayakan maksimum, anda boleh membuat pindaan hanya satu kali di i-Sinar Online.

"Ahli boleh meminda jumlah permohonan pengeluaran namun, ia tertakluk kepada jumlah maksimum kelayakan ketika permohonan asal dibuat.

"Tetapi jika ahli sudah memohon jumlah kelayakan maksimum ketika permohonan asal dibuat, tiada lagi pindaan boleh dilakukan," kata kenyataan itu.

KWSP juga sentiasa melakukan pengemaskinian dan memaklumkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

Dilaporkan, permohonan i-Sinar yang dibuat sebelum 25 Februari akan diberi kelulusan secara berperingkat selepas penambahbaikan i-Sinar tanpa kriteria dibuat, dengan bayaran bermula Selasa lalu.

Jumlah pengeluaran pula tertakluk baki simpanan, manakala jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal, seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah kerajaan memansuhkan kriteria kemudahan i-Sinar bulan lalu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat.

Menurutnya, kerajaan sentiasa prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi rakyat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 3:42 PM