GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Warga emas ditahan polis kerana disyaki mencabul cucunya yang berusia 8 tahun, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, suspek yang berusia 74 tahun itu ditahan jam 7.50 malam di rumah keluarganya.

Beliau berkata, warga emas itu dipertanggungjawabkan menjaga tiga cucunya yang berusia antara 4 hingga 10 tahun ketika ibu bapa kanak-kanak itu bekerja.

Bagaimanapun katanya, warga emas itu mengambil kesempatan terhadap seorang daripada cucunya ketika ibu bapa kanak-kanak berkenaan keluar berniaga.

"Bapa mangsa membuat laporan polis selepas mendapat tahu anaknya dicabul ayahnya sendiri di sebuah bilik di kediaman keluarga berkenaan di Skudai.

"Siasatan awal mendapati suspek melakukan perbuatan itu sebanyak tiga kali terhadap cucunya.

"Susulan laporan polis dibuat bapa mangsa, kanak-kanak itu dibawa ibunya melakukan pemeriksaan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk pemeriksaan.

"Hospital mengesahkan terdapat kesan koyakan pada selaput dara mangsa yang diakibatkan benda tumpul. Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan susulan daripada pakar kaunseling Unit Psikiatri HSA," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fariz Ammar berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

"Ia membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dengan sebatan.

"Kita akan dapatkan perintah reman daripada Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 2:01 PM