KEADAAN Nur Qaseh yang menghidap Adenovirus. FOTO Nazri Abu Bakar
KEADAAN Nur Qaseh yang menghidap Adenovirus. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: "Niat saya membantu Nur Qaseh Umairah kerana mahu lihat dia sihat," kata Samsulfais Ahmad yang menyerahkan wang kemenangannya menerusi pertandingan realiti televisyen bagi membeli alat bantuan pernafasan kepada Nur Qaseh Umairah Mohd Najib, 6, yang dijangkiti adenovirus sejak berusia enam bulan.

Samsulfais, 34, berkata, bapa Nur Qaseh, Mohd Najib Bebet, 39, adalah rakan baiknya dan dia tidak mahu melihat anak kecil itu terus menderita.

Katanya, Nur Qaseh memerlukan dua jenis mesin untuk bernafas yang digunakan 24 jam menyebabkan bapa kanak-kanak itu terpaksa menanggung beban kewangan tinggi.

"Saya tak sanggup lihat penderitaan Nur Qaseh berpanjangan, tambahan pula wang bagi perubatan mencecah RM3,000 sebulan sehingga Najib terpaksa berhenti berniaga sate kerana mahu menumpukan penjagaan anak sulungnya itu di rumah di Taman Seri Duyong," katanya.

Menurutnya, dia menyerahkan wang kemenangan program realiti televisyen pada Januari lalu sebanyak RM20,000 kepada keluarga Nur Qaseh namun terkejut apabila hanya RM10,000 saja diambil.

"Najib sanggup menyerahkan baki RM10,000 lagi kepada kanak-kanak lain yang juga mengalami penyakit kronik.

"Ini sangat mengagumkan saya kerana dia tidak mementingkan diri walaupun berdepan kesempitan," katanya.

Samsulfais berkata, pandemik Covid- 19 turut menyebabkan dia hilang pekerjaan dan kini hanya berniaga burger di rumahnya di Ayer Molek namun tetap berusaha mencari sumber bagi membantu Najib.

Sementara itu, Najib berkata, dia bangga dengan kesungguhan Samsulfais yang sanggup menghadiahkan wang kemenangan kepada anaknya.

Menurutnya, sebelum ini ada insan yang sudi meminjamkan mesin bantuan pernafasan untuk Nur Qaseh yang boleh beroperasi di rumah.

"Jadi selepas ini saya boleh memesan mesin bantuan pernafasan baru dengan wang sumbangan Samsulfais dan peralatan sedia ada akan dikembalikan kepada pemiliknya di Selangor," katanya.

Katanya, buat masa sekarang hanya isterinya bekerja sebagai guru namun dia tetap berusaha mencari rezeki bagi menanggung kos rawatan Nur Qaseh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 2:19 PM