FADILLAH Yusof. FOTO arkib NSTP
FADILLAH Yusof. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Walaupun negara dilanda pandemik Covid-19 tahun lalu, Kementerian Kerja Raya (KKR) dapat mencapai 99 peratus Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan dan disarankan sebagai peneraju industri pembinaan serta pembangunan infrastruktur.

Menteri Kanan (Kerja Raya) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kejayaan dicapai selaras moto KKR ke arah kesejahteraan rakyat yang juga misi dan agenda utama kementerian itu.

Menurutnya, dalam apa jua keadaan, teras KKR adalah untuk memastikan pembinaan infrastruktur dan bangunan kerajaan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya selain memastikan keadaan jalan selamat.

"Hakikatnya, jalan yang dibina termasuk jalan baharu adalah untuk merancakkan ekonomi negara kita.

"Bukan saja untuk memudahkan pergerakan antara mobiliti orang awam tetapi juga mobiliti perkhidmatan barangan dan lebih penting lagi memberi impak ekonomi pada rakyat.

"Pandemik Covid-19 sudah pasti memberikan cabaran besar. Namun, Alhamdulillah, di peringkat kementerian kita dapat mencapai KPI kita iaitu 99 peratus dari segi apa yang sudah kita tetapkan dan sarankan," katanya pada sidang media khas mengenai pencapaian KKR sepanjang tahun 2020.

Menurutnya, dalam konteks perkembangan terkini projek dilaksanakan KKR adalah seperti Lebuh Raya Pan Borneo masing-masing berstatus 45 peratus siap di Sabah dan 60 peratus siap di Sarawak.

"Kita ada Central Spine Road atau Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) projek jalan pintasan Pahang daripada Bentong hingga ke sempadan Kelantan.

"Selain itu, projek laluan Kota Bharu ke Kuala Krai (KBKK) iaitu sambungan daripada CSR yang menghubungkan Kelantan.

"Projek besar KKR yang lain antaranya jalan persekutuan di Selangor menghubungkan pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Tanjung Karang, Sabak Bernam dan laluan dari Hutan Melintang ke Teluk Intan, Perak," katanya.

Menurutnya, di Kuantan, Pahang, pula Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini sudah merasmikan Jambatan Putra iaitu jambatan kedua Tanjung Lumpur.

Fadillah berkata, pelbagai projek lain sedang rancak untuk disiapkan, ada yang berada di peringkat perolehan dan ada juga yang dalam peringkat reka bentuk.

"Pada masa sama, walaupun sewaktu Covid-19 tahun lalu tetapi KKR tetap melakukan penambahbaikan dan rawatan ke atas lokasi kerap berlaku kemalangan atau blackspot.

"Ia membabitkan 10 lokasi blackspot di lebuh raya seluruh negara yang melibatkan keselamatan 4.5 juta pengguna dengan kos RM1.2 juta.

"Manakala di jalan persekutuan seluruh negara pula membabitkan 159 lokasi blackspot yang melibatkan 12.1 juta pengguna dengan kos RM43.1 juta," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 9:54 AM