DATUK Seri Dr Adham Baba. FOTO Bernama.
DATUK Seri Dr Adham Baba. FOTO Bernama.
BERNAMA

Putrajaya: Kerajaan bersetuju mengecualikan fi atau bayaran ujian pengesanan Covid-19 bagi penuntut tempatan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata pengecualian itu akan diberikan kepada penuntut warga Malaysia yang melakukan ujian Covid-19 di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).

"Selaras dengan usaha kerajaan mengekang penularan Covid-19, semua penuntut perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan sesi pengajian. Maka, kerajaan akan menanggung semua kos ujian," katanya yang menganggarkan kos sebanyak RM2.79 juta.

Bercakap dalam sidang media selepas melancarkan buku bertajuk Impak Covid-19 Terhadap Insan, terbitan Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) secara maya hari ini, Dr Adham berkata, dianggarkan 18,600 penuntut akan memulakan sesi pembelajaran fizikal secara berperingkat bermula 1 Mac lalu.

Buku itu dihasilkan sekumpulan penyelidik dari Pusat Penciptaan Nilai dan Kesejahteraan Insan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM berdasarkan pengalaman mendepani Covid-19 serta penyelidikan saintifik.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata, setakat ini, 80,336 individu sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech, yang majoritinya ialah petugas barisan hadapan yang disenaraikan dalam Fasa 1 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula 24 Februari lalu.

Menurut Dr Adham, kira-kira 271 juta penduduk dunia sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan Amerika Syarikat merekodkan jumlah tertinggi iaitu 80.5 juta penduduk, diikuti China 52.5 juta, Kesatuan Eropah (35.6 juta) dan United Kingdom (21.5 juta).

Menurutnya, Malaysia menduduki tangga ke-68 daripada jumlah keseluruhan negara yang sudah dan sedang memberi suntikan vaksin Covid-19.

Beliau turut menyeru rakyat negara ini untuk mendaftar dalam PICK di aplikasi MySejahtera, yang sehingga kini sudah merekodkan pendaftaran kira-kira 2.7 juta individu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 5:51 PM