TAUFIQ (dua, kanan) bersama kakitangan kerajaan negeri ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TAUFIQ (dua, kanan) bersama kakitangan kerajaan negeri ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan negeri Kelantan hari ini tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan 200 kakitangan kerajaan negeri cuba memotong giliran sebagai penerima awal suntikan vaksin.

Laporan polis berkenaan dibuat oleh Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Taufiq Ramli di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Taufiq berkata, laporan polis berkenaan dibuat kerana tuduhan berkenaan menjejaskan integriti kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

Pada masa sama katanya, pihaknya turut meminta pihak polis mengambil tindakan terhadap kakitangan kerajaan yang menyebarkan maklumat tidak benar.

"Pada 28 Februari, saya menerima satu gambar tangkapan skrin yang ditulis dalam ciapannya di Twitter oleh seorang doktor yang mendakwa kejadian potong barisan bagi penerima fasa pertama suntikan vaksin Covid-19 membabitkan kakitangan kerajaan negeri.

"Ciapan berkenaan tular ke seluruh negara mengakibatkan reputasi buruk terhadap kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri.

"Walaupun kerajaan negeri sudah menafikan isu itu, namun saya menerima satu lagi gambar tangkap skrin yang berbaur fitnah kepada kerajaan negeri susulan penafian berkenaan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Justeru, pihaknya memohon polis membuat siasatan terhadap ciapan berkenaan yang pada hemat pihaknya sudah melanggar undang-undang serta nama baik kerajaan terjejas, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 4:54 PM