Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Mahaizura Abd Malik dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Pujian layak diberi kepada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana berusaha melakukan yang terbaik sepanjang setahun pentadbiran mereka walaupun berdepan cabaran getir menangani krisis kesihatan, Covid-19.

Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, tempoh setahun itu terlalu mencabar dan singkat untuk meraih hasil prestasi sempurna daripada Perikatan Nasional (PN).

"Kalau rakyat hendak nilai pencapaian terlalu sempurna daripada kerajaan tidak adil juga kerana ketika ambil alih pentadbiran, negara alami kemelut politik dan lebih mencabar lagi penularan pandemik Covid-19.

"Apa yang berlaku dalam setahun ini tempoh sukar kerana krisis kemanusiaan terburuk seperti Covid-19 satu perkara baharu berlaku bukan saja di Malaysia, malah satu dunia.

"Namun pujian patut diberi kepada kerajaan kerana buat yang terbaik termasuk berusaha membendung penularan pandemik seperti melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pelbagai tindakan pantas," katanya mengulas pencapaian setahun Muhyiddin memimpin negara.

Menurutnya, walaupun masih ada kelemahan tertentu namun rakyat tidak boleh menafikan banyak usaha dilakukan kerajaan dalam tempoh singkat itu termasuk memulihkan ekonomi negara dan rakyat.

"Apa yang saya nampak, kerajaan berusaha sebaik mungkin mengembalikan keyakinan rakyat sebagai kerajaan yang perform dengan melakukan tugas baik.

"Kita boleh lihat perdana menteri letak kepentingan rakyat melebihi segalanya dengan lebih fokus kepada isu membendung Covid-19 daripada berpolitik.

"Buktinya, Malaysia berupaya menangani Covid-19 dengan baik selain banyak pakej rangsangan ekonomi diperkenalkan, bukan saja membantu industri tetapi meningkatkan pendapatan rakyat terjejas dan meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh sukar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM) Azman Kang Abdullah berkata, biarpun Malaysia melalui penjajaran semula kerajaan namun kestabilan negara dari segi ekonomi dan politik dikekalkan.

Katanya, ia pencapaian baik terutama pengenalan pakej rangsangan membantu rakyat berdepan penularan Covid-19.

Menurutnya, pencapaian setahun perlu dilihat dalam perspektif negara berdepan pandemik antara yang terburuk dalam sejarah.

"Bagi saya setakat ini Perdana Menteri melakukan yang terbaik untuk rakyat.

"Dari aspek kepenggunaan pun, suara rakyat didengari dan ada platform untuk aduan dan penyelesaian.

"Kita boleh lihat pendekatan dikatakan kerajaan prihatin melalui pemberian moratorium, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) dan pelbagai lagi," katanya.

Ahmad Harits Mohd Zamrin, 27

Ejen Takaful

"Saya kagum dengan kepemimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terutama di dalam mengemudi negara sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Cabarannya besar kerana pengalaman mentadbir negara ketika situasi itu (Covid-19) tidak dilalui pemimpin sebelum ini.

Beliau juga bijak mencari keseimbangan di antara ekonomi dan kesihatan serta berusaha untuk membantu rakyat menerusi pelbagai bantuan diberikan oleh kerajaan."

Muhammad Afendi Mohamed, 47

Usahawan

"Perdana Menteri memang bekerja keras untuk memuaskan hati banyak pihak terutama rakyat.

Malah, beliau meletakkan kepentingan rakyat lebih utama sejak menyandang jawatan sebagai pemimpin nombor satu negara terutama dalam tempoh Covid-19.

Banyak usaha dilakukan beliau yang dapat menambat hati rakyat dan salah satunya adalah inisiatif i-Sinar yang membolehkan permohonan pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilakukan."

Ervin Napalcruz, 33

Usahawan

"Beliau seorang yang berjiwa rakyat dan boleh digelar sebagai Bapa Kebajikan.

Kesungguhan dan ketabahannya membantu rakyat berbilang bangsa jelas dapat dilihat dalam tempoh pandemik ini.

Paling saya kagum melihat beliau menjadi individu pertama dalam negara menerima suntikan vaksin Covid-19 yang pasti memberi keyakinan kepada rakyat untuk mengikut jejak langkahnya."

Md Fairul Ab Rahman, 43

Bapa enam anak

"Kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin atau mesra kita gelar Abah ketika Malaysia diuji dengan pandemik Covid-19 amat mencabar dan secara jujurnya, beliau sudah melakukan yang terbaik dalam menangani pelbagai isu berkaitan wabak itu.

Pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi membantu rakyat seperti moratorium, Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan banyak lagi."

Wizahana Amran, 39

Suri rumah

"Beliau pemimpin yang baik kerana memahami denyut nadi rakyat.

Biarpun berdepan pelbagai dugaan, riak wajahnya tetap kelihatan tenang seolah-olah tiada masalah dipikulnya.

Malah, banyak inisiatif di bawah kepemimpinannya meringankan beban rakyat terutama mereka yang hilang punca pendapatan akibat dibuang kerja dan lain-lain lagi."

Nor Azlita Ariffin, 30

Operator pengeluaran

"Perdana Menteri dan barisan menteri dalam kabinetnya sudah melakukan yang terbaik dalam memelihara negara dan menjaga rakyat supaya terus sihat dan tidak terbeban dengan kesan ekonomi semasa.

Beliau individu pertama mengambil suntikan vaksin dan ia membuktikan kepada rakyat Malaysia mengenai kebaikannya dalam mengelak jangkitan Covid-19."

Nazratul Adawiah Abdullah, 31

Kerani Akaun

"Alhamdulillah, sudah setahun kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sebagai rakyat, saya kagum dengannya kerana bermula dengan saat yang genting sewaktu dilantik menjadi Perdana Menteri ketika negara diuji dengan pandemik Covid-19.

Saya yakin, memang ramai rakyat Malaysia menyayanginya dan berdoa semoga beliau terus diberikan kekuatan serta kesihatan yang baik untuk mentadbir negara."

Siti Sapiah Hasan Basri, 29

Ejen penghantaran

"Kita sendiri tidak sangka, tetapi perancangan Allah sangat hebat kerana memberi rakyat Malaysia seorang pemimpin yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat daripada segenap lapisan.

Terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menjadi Perdana Menteri ketika Malaysia menghadapi gelombang Covid-19."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 10:48 AM