AYOB Khan pada sidang media kes pemerasan meminta mangsa membayar sejumlah hutang dengan kekerasan oleh seorang lelaki dipercayai bergelar Datuk Seri dan penahanan 10 ahli Kumpulan Geng 21 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. FOTO BERNAMA
AYOB Khan pada sidang media kes pemerasan meminta mangsa membayar sejumlah hutang dengan kekerasan oleh seorang lelaki dipercayai bergelar Datuk Seri dan penahanan 10 ahli Kumpulan Geng 21 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Johor Bahru: Polis menasihatkan orang awam agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah mempercayai individu menyamar dengan menggunakan gelaran "Datuk Seri" atau "Tan Sri" yang disyaki aktif memeras ugut di sekitar negeri ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ini kerana terdapat individu yang mempunyai gelaran itu berselindung di sebalik aktiviti kebajikan berkaitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Mereka menyumbang derma dan van jenazah bagi memastikan kegiatan jenayah terlindung.

"Individu ini ibarat 'Robin Hood'. Saya percaya banyak NGO ada kaitan dengan individu gelaran ini dan menjanjikan akan memberi itu ini dan polis juga sedang menyiasat sama ada kes berkenaan berkaitan dengan parti politik atau sebaliknya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes peras ugut terbaharu membabitkan dua lelaki termasuk seorang peniaga besi buruk bergelar 'Datuk Seri' berumur 56 tahun dan rakannya 41 tahun yang disyaki mengugut orang awam, termasuk seorang pegawai polis berpangkat inspektor pada Februari lalu.

Menurutnya, mereka telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Katanya, berdasarkan siasatan, gelaran Datuk Seri salah seorang suspek itu dipercayai diterima daripada sebuah Kesultanan di Asia Tenggara dan gelaran berkenaan tidak diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia, dan suspek beranggapan gelaran itu boleh melebarkan sayap untuk mengugut sertakan menjalankan aktiviti jenayah.

"Tidak kisah dia dapat gelaran itu daripada mana, dari Malaysia atau di mana sahaja, sama ada bergelar 'Datuk Seri' atau 'Tan Sri', jika terlibat dengan aktiviti jenayah kita akan tangkap, tidak akan ada yang terlepas.

"Selain itu, hasil semakan juga mendapati Datuk Seri itu juga pernah dua kali dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat, ditahan di Simpang Renggam dan Pulau Jerejak pada tahun 80-an dan 90-an," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, dan Datuk Seri terbabit turut dikenakan satu lagi pertuduhan kerana mengugut pegawai polis yang menahannya di bawah seksyen sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 5:18 PM