Gelanggang judi sabung ayam di salah satu ladang kelapa sawit dekat Bergosong, yang disebu polis petang semalam. FOTO Ihsan PDRM
Gelanggang judi sabung ayam di salah satu ladang kelapa sawit dekat Bergosong, yang disebu polis petang semalam. FOTO Ihsan PDRM
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Polis menahan 31 individu termasuk sembilan wanita kerana terbabit dengan aktiviti judi sabung ayam menerusi serbuan berasingan di dua ladang kelapa sawit, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, serbuan dijalankan di sebuah ladang kelapa sawit dekat Bergosong pada jam 4 petang, semalam.

Menurutnya, serbuan dilakukan susulan maklumat dan aduan mengenai penganjuran serta kegiatan haram yang menjadikan ladang kelapa sawit sebagai tempat perjudian sabung ayam.

"Dalam serbuan itu, 15 lelaki dan dua wanita kesemuanya warga asing berumur antara 21 hingga 84 tahun ditahan ketika sedang leka menyaksikan aktiviti haram terbabit," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Peter berkata, pihaknya turut melakukan serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Kilometer 60, Jalan Tawau-Kunak, Ahad lalu dan menahan 14 individu masing-masing tujuh lelaki dan wanita disyaki kaki judi sabung ayam.

Katanya, menerusi kedua-dua serbuan itu, pihaknya merampas 23 ayam sabung, empat beg pisau taji ayam, 47 bilah pisau taji ayam, sehelai kain rentang judi jenis Tai Sai dan sebuah mangkuk berserta tiga dadu.

"Selain itu, kita turut merampas sejumlah mata wang Indonesia pelbagai not berjumlah Rupiah 25,057,000 dan ringgit Malaysia berjumlah RM250 dipercayai wang pertaruhan aktiviti haram berkenaan.

"Polis percaya kegiatan judi sabung ayam membabitkan warga asing ini sudah berlaku sejak beberapa bulan lalu dengan menjadikan ladang kelapa sawit sebagai lokasi penganjuran berikutan kedudukannya yang jauh dan tersembunyi," katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 3:27 PM