FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Daerah Nabawan, Sabah, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula lusa sehingga 16 Mac hadapan susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di kawasan itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 177 kes positif Covid-19 dilaporkan membabitkan 15 kampung di daerah itu sehingga semalam.

"Selain itu, Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka 7 dan Felda Ulu Jempol, Maran, Pahang pula akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini hingga 15 Mac kelak susulan peningkatan kes mendadak dengan 46 kes positif direkodkan di kawasan berkenaan.

"Pelaksanaan PKPD di kawasan berkenaan untuk memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan pengesanan awal kes Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin dan memastikan warga Felda Jengka 1, 2, 7 dan Felda Ulu Jempol yang berisiko dijangkiti kekal berada di dalam kawasan PKPD," katanya tadi.

Ismail berkata, kerajaan juga bersetuju untuk menamatkan pelaksanaan PKPD di Penjara Sungai Udang dan Kuarters Kakitangan, Melaka Tengah, Melaka; Kampung Sungai Maong, Kuching, Sarawak serta Taman Univista, Kota Samarahan, Sarawak.

"Di Penjara Sungai Udang dan Kuarters Kakitangan, sebanyak 1,701 ujian saringan dilakukan di kawasan berkenaan dengan 388 kes positif direkodkan, manakala 427 ujian saringan dilakukan di Kampung Sungai Maong membabitkan 40 kes dicatatkan.

"Sementara itu, di Taman Univista, Kota Samarahan pula mencatatkan 700 ujian saringan dengan 57 kes disahkan positif. Semua lokasi terbabit menunjukkan trend penurunan dan tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

"Berdasarkan penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP yang dilakukan, kerajaan bersetuju untuk menamatkan perlaksanaan PKPD di semua lokasi terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 6:48 PM