GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Tiga individu bergelar Tan Sri dan Datuk yang disyaki menjadi dalang kartel dadah antarabangsa tidak terbabit dengan politik.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata, kesemua mereka itu menjalankan perniagaan yang sah tetapi mempunyai kaitan dengan dadah.

"Mereka yang berada dalam 'radar' polis itu tidak terbabit dengan politik dan kita masih mengumpulkan keterangan sebelum melakukan tangkapan.

"Langkah itu perlu kerana kita tidak mahu selepas ditahan, mereka dibebaskan begitu sahaja kerana kekurangan bukti," katanya kepada media di sini, hari ini.

Terdahulu, Razarudin mendedahkan tiga orang kenamaan yang terbabit kartel dadah itu berselindung di sebalik aktiviti perniagaan sah seperti perhotelan, perkapalan, pengangkutan dan besi bagi mengelak kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.

Aktiviti perniagaan sah yang dimiliki tiga individu berusia 45 tahun ke atas itu dipercayai hanya alasan bagi menutup kegiatan utama iaitu terbabit dalam kegiatan pengedaran kokain ke luar negara.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, tangkapan membabitkan orang berpengaruh dalam sindiket dadah bukan sesuatu yang baru cuma tidak didedahkan kepada media.

"Sebelum ini, polis pernah mengambil tindakan sama terhadap beberapa individu bergelar Datuk mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Langkah-langkah Pencegahan (LLPK).

"Misalnya pada tahun lalu, dua individu bergelar Datuk membabitkan kes di Melaka dan Kelantan selain kes sama pada 2017," katanya.

Berita berkaitan

Tauke dadah berselindung di sebalik gelaran Tan Sri, Datuk Seri

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 3:40 PM