FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Seramai 40 pengunjung termasuk seorang wanita warganegara Vietnam ditahan ketika sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Jati 2, Taman Nusa Bistari Jaya, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam serbuan 12.10 tengah malam itu, 40 pengunjung ditahan itu membabitkan 29 wanita dan 11 lelaki berusia antara 20 hingga 59 tahun.

Beliau bekata, hasil pemeriksaan mendapati premis itu mempunyai lesen hiburan karaoke yang sah.

"Penjaga premis yang bekerja sebagai pengurus dan juruwang, turut ditahan. Penjaga premis itu tiada sebarang rekod jenayah lampau.

"Ujian air kencing dijalankan terhadap semua pekerja premis dan pelanggan dan hasilnya enam individu dikesan positif dadah jenis methamphetamin dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, 40 individu berada di dalam premis itu dikompaun kerana tidak memakai pelitup mulut dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Menurutnya, wanita warga Vietnam turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Katanya, pihaknya turut merampas perkakasan hiburan seperti televisyen, mikrofon, pemain cakera padat, pembesar suara serta dua kertas disyaki senarai bilik dilanggan dan dua walkie talkie.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 1:43 PM