SEBAHAGIAN ibu bapa memilih kelengkapan pakaian sekolah terpakai dan baru hasil sumbangan orang ramai di SK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi. FOTO Aizuddin Saad.
SEBAHAGIAN ibu bapa memilih kelengkapan pakaian sekolah terpakai dan baru hasil sumbangan orang ramai di SK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi. FOTO Aizuddin Saad.
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Bagi membangkitkan semangat murid untuk kembali ke sekolah 1 Mac ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, Selangor, tampil dengan inisiatif sendiri mengumpulkan pakaian seragam sekolah terpakai untuk disumbangkan kepada golongan keluarga B40.

Guru Besarnya, Ainon Mohamed Salehuddin berkata, inisiatif warga sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) itu bertujuan meringankan beban ibu bapa dalam membeli keperluan persekolahan anak-anak.

"Kami sedia maklum Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kebenaran kepada murid yang belum mempunyai pakaian seragam sekolah memakai pakaian biasa.

"Namun, bagi pihak sekolah kami tampil dengan inisiatif tambahan menyediakan pakaian seragam sekolah terpakai ini supaya tiada alasan untuk murid hadir seperti biasa sekali gus menyuntik semangat mereka hadir ke sekolah sekolah 1 Mac ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, sumbangan baju sekolah terpakai itu dibuat serentak bersama agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) KPM berjumlah RM100 kepada 501 keluarga B40 di sekolah itu.

Ainon berkata, sebanyak 500 pasang baju seragam sekolah terpakai disediakan warga sekolah dan PIBG, hari ini.

"Kami tidak memaksa mereka untuk mengambil baju seragam terpakai yang disediakan, namun jika ibu bapa murid belum lagi mempunyai baju sekolah bolehlah mengambilnya.

"Baju seragam pelbagai saiz ini sudah diperiksa dan dibersihkan serta melalui peringkat pemeriksaan kualiti agar pakaian yang disumbangkan itu masih boleh dipakai murid," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 4:20 PM