KETIBAAN Vaksin Covid-19 di Warehouse Raya Air, kawasan Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. FOTO Nadim Bokhari
KETIBAAN Vaksin Covid-19 di Warehouse Raya Air, kawasan Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi

Kuching: Kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech untuk kegunaan rakyat Sarawak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) tepat 6.20 petang hari ini.

Sebanyak 23,400 dos vaksin berkenaan diterbangkan dengan pesawat kargo penerbangan TH543 Raya Airways dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Ketibaan vaksin berkenaan disambut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Uggah berkata, vaksin berkenaan disimpan di tempat penyimpanan khas di LTAK sebelum diedarkan di pusat penyimpanan di Kuching dan Sibu, esok.

"Hari ini kita menyaksikan sejarah yang ditunggu-tunggu seluruh rakyat Sarawak iaitu ketibaan vaksin Pfizer-BioNTech.

"Ini adalah penghantaran pertama dan akan disusuli beberapa lagi penghantaran selepas ini.

"Saya bagi pihak seluruh rakyat Sarawak mengucapkan penghargaan serta terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas penghantaran vaksin ini," katanya pada sidang media sejurus menyaksikan ketibaan vaksin itu.

Uggah berkata, Program Imunisasi Covid-19 pertama di Sarawak akan bermula di Kuching dan Sibu, Jumaat ini dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg akan menerima suntikan pertama.

Ia disusuli dengan vaksinasi terhadap petugas barisan hadapan khususnya kakitangan perubatan dan keselamatan.

Beliau berkata, ketika ini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Pejabat Residen seluruh negeri sedang bekerjasama rapat bagi menyediakan lojistik untuk memastikan penghantaran vaksin itu ke semua kawasan termasuk di pedalaman berjalan lancar.

"Ketua Menteri sudah meluluskan peruntukan berjumlah RM30 juta untuk menyediakan lojistik penghantaran vaksin itu di seluruh Sarawak," katanya.

Penghantaran kedua sebanyak 31,590 dos vaksin itu dijangka tiba di Kuching pada 2 Mac, penghantaran ketiga sebanyak 4,680 dos pada 10 Mac, penghantaran keempat pada 17 Mac juga sebanyak 4,680 dos, penghantaran kelima pada 24 Mac sebanyak 14,040 dos manakala penghantaran keenam pada 31 Mac sebanyak 9,360 dos.

Fasa pertama vaksinasi di Sarawak akan bermula Jumaat ini sehingga 31 Mac dengan sasaran seramai 97,161 petugas barisan hadapan.

Fasa kedua dan ketiga pula akan bermula 1 April yang dijadual selesai pada 31 Ogos.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 8:10 PM