Zaid Salim

Chukai: "Saya memang berhajat menjadi individu pertama ambil vaksin Covid-19 di Kijal, tetapi tidak boleh melakukannya kerana pernah dijangkiti wabak itu," kata bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Menurutnya, beliau hanya dibenarkan mengambil suntikan vaksin selepas enam bulan dari tarikh dimasukkan ke hospital.

"Saya sudah menghubungi pejabat kesihatan untuk perkara itu, tetapi mereka memaklumkan saya hanya boleh ambil (suntikan vaksin) selepas enam bulan dari tarikh saya dimasukkan ke hospital," katanya ketika ditemui di kediamannya di Telok Kalong, Kijal, dekat sini.

Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal menasihatkan golongan yang terpilih menerima vaksin berkenaan memberi kerjasama terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula Rabu ini.

"Jangan takut dan was-was dengan status vaksin ini, majlis fatwa pun sudah mengeluarkan kenyataan pengambilan vaksin Covid-19 ini adalah harus, sama seperti mengambil vaksin untuk urusan haji," katanya.

AHMAD Said ketika berada di kebun miliknya. FOTO Ghazali Kori.
AHMAD Said ketika berada di kebun miliknya. FOTO Ghazali Kori.

Beliau berkata, pengambilan vaksin Covid-19 adalah langkah pencegahan daripada dijangkiti wabak berbahaya itu.

Mengimbau kembali ketika dijangkiti wabak berkenaan, Ahmad Said berkata, beliau tidak mengetahui dari mana mendapat jangkitan, malah beliau juga tidak mengalami gejala.

Namun, katanya, badan terasa sangat lemah, letih dan lesu sehingga sebelum meminta anak menghubungi doktor untuk membuat pemeriksaan dan ujian calitan.

"Tiga hari kemudian, saya mendapat keputusan positif Covid-19 dan terkejut kerana saya tidak ke mana-mana sebelum itu selain sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga prosedur operasi standard (SOP).

"Alhamdulillah, sepanjang 11 hari menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, saya, isteri dan anak tidak mengalami masalah, cuma saya tiba-tiba mengalami kencing manis dan darah pekat.

"Namun, kini, semua sudah pulih," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 2:52 PM