GAMBAR kereta yang tular di media sosial selepas dilarikan seorang lelaki.
GAMBAR kereta yang tular di media sosial selepas dilarikan seorang lelaki.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Berpura-pura sebagai pelanggan dan mahu memandu uji kereta yang ingin dilarikan, itu taktik licik seorang lelaki sebelum melarikan sebuah Perodua Axia dalam kejadian berdekatan sebuah pusat jualan kereta terpakai di Jalan Kampar, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, suspek mendatangi jurujual wanita berusia 25 tahun di premis itu kononnya untuk membeli kereta Perodua Myvi.

Bagaimanapun, dia meminta untuk pandu uji Perodua Axia yang kemudiannya disyorkan oleh mangsa.

Beliau berkata, jurujual wanita itu sempat membuat kiraan mengenai bayaran ansuran kenderaan yang disyorkannya namun tidak mencatit sebarang butiran mengenai suspek sebelum bersetuju membenarkan kenderaan itu dipandu uji.

"Mangsa duduk di bahagian penumpang belakang ketika suspek memandu kereta. Mereka sempat berhenti untuk mengisi minyak, sebelum mangsa memberitahu dia perlu pulang semula ke pusat jualan dan dituruti suspek.

"Namun suspek tidak berhenti ketika melintasi premis menjual kereta terbabit sebaliknya berhenti di satu simpang berdekatan kononnya disebabkan terlajak.

"Suspek kemudian meminta mangsa memandu kereta itu dan sejurus mangsa turun dari kereta, suspek terus memecut dan melarikan kereta itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, ketika kejadian suspek memakai pelitup muka selain mangsa mendakwa tidak dapat mengenal pasti wajah suspek.

Beliau berkata, kereta Perodua Axia 1000 G (Auto) yang dilarikan itu bernilai RM24,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

kejadian berlaku kira-kira 4 petang itu menyebabkan kereta jenis Perodua Axia 1000 G (Auto) bernilai RM24,000 berkenaan dilarikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 11:16 AM