GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Balqis Jazimah Zahari


Kampar: Seorang tukang masak wanita yang sedang memasak mati dirempuh Proton Saga yang terbabas ke dalam sebuah restoran di Jalan Batu Sinar di sini, pagi tadi.

Mangsa, Wong Kwai Yung, 59, yang parah di kepala disahkan mati di lokasi manakala seorang lagi tukang masak wanita cedera ringan.

Kedua-duanya dirempuh kereta dipandu lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) kudung kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian jam 10.17 pagi.

"Siasatan awal mendapati, pemandu Proton Saga ketika itu sedang masuk ke parkir hadapan restoran untuk membeli makanan di premis itu.

"Pemandu tiba-tiba terpijak pedal minyak menyebabkan kereta bergerak ke hadapan sebelum merempuh dua mangsa yang sedang memasak di gerai di kaki lima hadapan restoran," katanya dihubungi.

Hasron Nazri berkata, tukang masak wanita yang cedera dirawat di Hospital Kampar manakala pemandu dan penumpang kereta selamat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 6:05 PM