GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Individu yang akan disuntik dengan vaksin Covid-19 perlu melalui lima stesen di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dengan proses suntikan mengambil masa antara 15 dan 30 minit termasuk proses pemantauan untuk kesan sampingan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Katanya, stesen pertama ialah untuk saringan gejala dan suhu; stesen kedua untuk pendaftaran; stesen ketiga bagi konsultasi dan persetujuan imunisasi; stesen keempat untuk suntikan vaksin Covid-19; serta stesen kelima untuk pemerhatian.

"Dari saringan suhu sehingga suntikan akan ambil masa antara 10-15 minit. Bagi proses pemerhatian pula selama 15 minit (lagi), namun kita perlu beri ruang secukupnya untuk pemantauan dijalankan," katanya pada sidang media selepas melakukan simulasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini, hari ini,

Turut hadir, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula esok dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan membabitkan 500,000 orang.

Fasa 2 pula iaitu dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berusia 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya (OKU) seramai 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berusia 18 tahun ke atas - warganegara dan bukan warganegara - dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Khairy sebelum ini dilaporkan berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin Covid-19 pada hari pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Program itu pada asalnya dijadualkan bermula 26 Februari ini, namun dipercepatkan ke esok.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, kementeriannyan sudah bersedia untuk melaksanakan fasa pertama yang membabitkan 572,588 petugas barisan hadapan berdaftar mengikut rekod setakat 21 Februari lalu.

Menurutnya, sebanyak 532 PPV dikenal pasti di seluruh negara untuk pelaksanaan program vaksinasi terbesar negara itu dan dibahagikan kepada lapan kategori mengikut bilangan petugas dan keluasan premis.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata, wanita mengandung serta yang menyusukan anak tidak akan diberi suntikan vaksin Covid-19 berdasarkan ketetapan yang dibuat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Pensyarah Perubatan Mikrobiologi Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Niazlin Mohd Taib dilapor menyarankan wanita mengandung serta yang menyusukan anak agar menangguhkan pengambilan vaksin Covid-19 bagi mengelak sebarang kemungkinan kesan sampingan berikutan belum ada bukti klinikal untuk menyokong penggunaan vaksin itu dalam kalangan golongan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 4:29 PM