Seorang pengusaha kolam ikan keli, Tan Kim Hong, 61, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu atas pertuduhan melakukan khianat dengan melepaskan bahan buangan daripada premisnya ke dalam Sungai Selangor sehingga menyebabkan pencemaran dan susut bekalan air Disember tahun lepas. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Seorang pengusaha kolam ikan keli, Tan Kim Hong, 61, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu atas pertuduhan melakukan khianat dengan melepaskan bahan buangan daripada premisnya ke dalam Sungai Selangor sehingga menyebabkan pencemaran dan susut bekalan air Disember tahun lepas. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
BERNAMA

Kuala Kubu Bharu: Pengusaha kolam ikan keli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan melepaskan bahan buangan daripada premisnya ke dalam Sungai Selangor sehingga menyebabkan susut bekalan air, Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, Tan Kim Hong, 61, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan dari sebuah premis dilupuskan ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Selangor dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi maksud minuman manusia di sebuah premis penternakan ikan keli di Serendah, Hulu Selangor, dekat sini, pada 7 Disember 2020.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Asnawi Abu Hanipah tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan yang dilakukan tertuduh tidak boleh dijamin.

"Kes ini juga telah menyebabkan kira-kira lima juta pengguna air di 1,000 kawasan di Selangor terjejas selama lapan jam. Kes ini juga adalah kes pencemaran keempat sejak Januari 2020.

"Sekiranya mahkamah ingin memberikan jaminan, mohon jaminan yang cukup tinggi bagi menunjukkan mahkamah memandang serius kes sebegini," katanya yang mengendalikan kes bersama-sama TPR Ashyraf Ashyari Kamaruzaman.

Peguam Zulfahami Abu Bakar yang mewakili Tan memohon jaminan rendah, dengan mengambil kira faktor ekonomi tertuduh yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19.

"Anak guam saya bersedia untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dia juga menanggung keluarga termasuk seorang anak yang masih bersekolah," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 haribulan dan dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Pada 24 Disember lalu, Bernama melaporkan seorang pengusaha kolam ikan keli dan empat pekerjanya ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes pencemaran air Loji Rawatan Air Sungai Selangor 1, 2 dan 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang pada 7 Disember tahun sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 2:47 PM