NOR Azmi Bahudin menunjukkan kad OKU dan tangan kanannya tanpa bahagian tapak dan jari kanan. FOTO Mohd Amin Jalil
NOR Azmi Bahudin menunjukkan kad OKU dan tangan kanannya tanpa bahagian tapak dan jari kanan. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seorang orang kelainan upaya (OKU) resah memikirkan masa depannya berikutan masih tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk menampung keperluan harian keluarga sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Nor Azmi Bahudin, 47, yang putus bahagian tapak tangan dan lima jari kiri sejak 10 tahun lalu itu gigih mencari rezeki untuk membesarkan tiga anaknya berusia 11, 15 dan 17 tahun.

"Sebelum bermulanya PKP pertama tahun lalu, saya ada bekerja dengan sebuah kilang ayam di Senawang tetapi tidak lama kerana masalah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dilunaskan majikan walaupun potongan dibuat dalam slip gaji bulanan.

"Selepas itu bermula Ogos tahun lalu iaitu ketika pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) saya bekerja dengan sebuah pusat pemproses ayam di Paroi Seremban tetapi hanya bertahan setakat tiga bulan kerana masalah kewangan syarikat dan PKP.

"Sehingga sekarang, saya masih tidak mempunyai pekerjaan dan pernah memohon dengan beberapa kilang tetapi tidak berjaya kerana kecacatan tangan kiri," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Cempaka Senawang, di sini, hari ini.

Menurutnya, ketika ini dia hanya bergantung kepada bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM400 sebulan.

Nor Azmi berkata, bantuan pencen ilat itu susulan kecederaan dialami di tangan kirinya ketika bekerja dengan sebuah kilang pengeluaran kotak di Senawang.

Menurutnya, dia turut menerima bantuan OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan sebanyak RM500 sebulan.

"Melalui bantuan dua agensi itu berjumlah keseluruhan RM900 sebulan, saya gunakan untuk keperluan harian keluarga termasuk bayaran sewa rumah sebanyak RM600 sebulan," katanya yang mengakui kadangkala terputus belanja dapur.

Katanya, dia akui sukar mendapatkan peluang pekerjaan disebabkan status OKU yang dimilikinya.

"Saya ada mencuba mendapatkan pelbagai kerja tetapi belum ada rezeki, tambahan pula musim wabak Covid-19 masih belum reda dan bukan mudah untuk mana-mana syarikat mendapatkan tenaga kerja.

"Saya mengharapkan peluang pekerjaan itu menjelma kerana memikirkan masa depan isteri (Nor Ashikin Ismail, 44) dan anak-anak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 3:19 PM